Tentang saya

"Your future is your creation"

Al-Kisahnya

Ceritanya bermula pada awal tahun 2016, setelah permintaan kepada bidang teknologi kad pintar (iaitu bidang yang telah saya ceburi lebih kurang 25 tahun) semakin berkurangan, saya mencari alternatif lain untuk meneruskan kelangsungan karier saya dalam bidang berteknologi.

Pencetak 3D dan CNC sebenarnya bukan perkara baru bagi saya, kerana saya selalu membaca dalam internet dan melihat perkembangannya semakin di terima oleh masyarakat dunia.

Laman web yang pertama saya baca berkenaan dengan pencetak 3D adalah laman web RepRap.org. RepRap berasal dari perkataan “replicating rapid prototyper”, yang bermaksud sekiranya kita mempunyai sebuah pencetak 3D, kita boleh meniru (‘replicating’) dengan mencetak bahagian-bahagian tertentu untuk membuat pencetak 3D yang lain.

Untuk memulakan bidang ini, saya telah membeli satu set Pencetak 3D Pasang Sendiri dari China (seperti dalam imej di bawah). Harganya ketika itu lebih kurang USD240. 

Di samping itu juga saya menyediakan alat-alat ganti pencetak 3D yang boleh didapati di Lelong.my, kedai di atas talian.

Dari sini bermula pembuatan pencetak 3D yang diberi nama RObot PenceTAK 3D atau singkatannya ROTAK3D. Pencetak 3D ini akan merangkumi pencetak-pencetak 3D jenis ‘Cartesian’, ‘Delta’, dan juga ‘CoreXY’.

Dalam masa yang sama juga, saya mencuba membuat pencetak 3D ‘Controller Board’ berasaskan RAMPS 1.4 dengan ATMega2560 Micro Controller dan Sanguinololu dengan ATMega1280 Micro Controller.

Sila lawati blog saya dari masa ke masa untuk mengetahui perkembangan tentang ROTAK3D dan juga lain-lain produk yang berkaitan.

Salam sejahtera untuk semua!

Terimakasih.